Saturday, August 1, 2009

Pencemaran Bahasa..?? Wujud atau tidak..??

Assalamualaikum...
Pada pendapat saya sebagai salah seorang mahasiswa IPTA yang sedang mengikuti kursus bahasa, isu pencemaran bahasa ini sememangnya wujud dan ianya bukan telah wujud pada hari ini sahaja tetapi isu ini telah wujud sejak dari dulu lagi. Walau bagaimanapun sejak akhir ini, isu pencemaran bahasa ini semakin menjadi-jadi. Contohnya kita dapat lihat isu pencemaran bahasa ini semakin menjadi-jadi dalam media terutamanya dalam media penyiaran. Buktinya apabila media penyiaran memilih bahasa rojak sebagai nama rancangan dan nama siaran mereka. Sebagai contoh, kritikan surat seorang pembaca yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 25haribulan Julai yang lalu mengenai penggunaan bahasa rojak dalam industri penyiaran tempatan.Di dalam surat pembaca itu telah diberitahu bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) ada menggunakan bahasa rojak yang menyebut angka Air Bus 380 dalam bahasa Inggeris dan bukannya tiga lapan kosong.Sekali imbas pandangan ini memang benar dan ini merupakan satu kesalahan bahasa.Kenyataan ini dapat disahihkan lagi menurut Kamus Dewan Edisi Empat pencemaran bahasa bermaksud penggunaan bahasa yang tidak betul di kalangan masyarakat. Malah definisi pencemaran bahasa ini turut disokong oleh Nik Safiah Karim (1986), menurut beliau pencemaran bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar perauran-peraturan bahasa yang telah dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Manakala menurut Hassan bin Ahmad (1979:20), pencemaran bahasa bermaksud bahasa yang amat buruk digunakan sehingga mencemarkan imej Bahasa Malaysia. Maka dalam kes pencemaran bahasa yang semakin menjadi-jadi yang diwujudkan oleh media penyiaran ini, kita sudah sedia maklum bahawa pengaruh media penyiaran ini adalah amat besar sekali terutamanya kepada pendengar dari kalangan remaja. Malah isu pencemaran bahasa ini khususnya kekerapan penggunaan bahasa rojak oleh media penyiaran ini telah dipandang serius oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) iaitu Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Ini kerana beliau adalah seoarang yang antibahasa rojak dan menerusi teguran yang dibuat itu jelas memperlihatkan penggunaan bahasa rojak digunakan secara berleluasa dan beliau akan mengambil langkah segera untuk mengatasinya.
Oleh itu, apa yang dapat saya simpulkan disini ialah penggunaan bahasa yang bercampur aduk yakni bahasa rojak oleh penyiar ini, jika dibiarkan bukan sahaja akan merosakkan keindahan bahasa Malaysia yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi tetapi juga pemikiran anak bangsa kita pada kemudian hari. Sama-samalah kita renungkan.. SALAM...

No comments:

Post a Comment